Akta Rahsia Rasmi 1972 - Skim F Daerah Segamat
Friday, July 22, 2011

Mari berkongsi sedikit info berhubung menjaga KERAHSIAAN dalam tugas seorang penjawat awam. Sebagai seorang penjawat awam kita semua terikat pada satu akta khas yang membendung pengedaran maklumat terkawal yang berisiko untuk membahayakan, merugikan dan mengaibkan negara dan institusi pentadbiran negara. 

Tindakan tatatertib dan undang-undang boleh diambil sekiranya terjadi perkara yang boleh merugikan pihak-pihak lain akibat kecuaian kawalan terhadap makumat sensitif.

Diantara akta-akta tersebut adalah seperti dibawah ini:-
77. Akta Rahsia Rasmi 1972 adalah satu Akta Undang-undang berhubungan dengan perlindungan rahsia rasmi, terutama sekali dimaksudkan untuk memelihara perkara-perkara rasmi daripada jatuh ke tangan orang-orang yang tidak dibenarkan. Akta ini bertujuan untuk mencegah kelalaian yang bersalahan, iaitu satu kesalahan jenayah, dan juga untuk menghalang apa-apa bantuan haram yang sengaja diberikan kepada agensi-agensi negara asing atau subvertif. 

78. Ketua-ketua Jabatan hendaklah mengambil langkah menarik perhatian semua penjawat awam kepada peruntukan Akta Rahsia Rasmi 1972 dan juga perhatian penjawat-penjawat awam yang kemudiannya ditempatkan di Jabatan-jabatan mereka. Ini adalah peraturan asas mencegah yang nyata memberi faedah kepada kepentingan diri seseorang di mana ianya betul-betul sedar tanggungjawabnya terhadap keselamatan di sisi undang-undang; di samping itu peraturan yang sama juga adalah untuk kepentingan awam menentukan bahawa hanya penjawat-penjawat awam yang cukup sedar atas tanggungjawab mereka sahaja diambil berkhidmat dengan Kerajaan. 
79. Sebagai satu lagi peraturan mencegah, tiap-tiap penjawat awam dalam perkhidmatan sementara atau tetap yang memerlukannya mengetahui perkara terperingkat adalah dikehendaki menandatangani satu borang akuan seperti di lampiran 'D' sebelum mereka dibenarkan mengetahuinya. Borang yang sama dikehendaki ditandatangani setiap tahun sebagai peringatan. Akuan-akuan yang telah ditandatangani dan disaksikan hendaklah disimpan oleh Ketua-Ketua Jabatan yang bertanggungajwab untuk menentukan semua penjawat awam berbuat demikian. Pada masa berhenti dari perkhidmatan Kerajaan, penjawat tersebut juga dikehendaki menandatangani satu akuan yang akhir seperti di lampiran 'E'.
(sumber: Arahan Keselamatan, m.s 21)
Mengkhusus kepada tugas dan tanggungjawab seorang Juruteknik Komputer, terdapat lebih risiko dan bahaya dalam terlalainya kita kepada pendedahan maklumat-maklumat berstatus rahsia kepada individu yang tidak sepatutnya. Berikut adalah beberapa perkara yang perlu diambil perhatian sebelum membuat perkongsian maklumat dengan umum.
  • Maklumat Login (jangan sesekali berkongsi maklumat seperti username, password, hint bagi semua kategori sistem samada server, workstation, cctv, alarm dan sebagainya)
  • IP Address (elakkan perkongsian ip address LAN dan WAN dalam forum, facebook (terbuka)
  • Maklumat Perkakasan (elakkan memaparkan maklumat perkakasan tempat kerja kepada umum, bagi mengelak faktor risiko kecurian)
  • Maklumat Keselamatan (elakkan berkongsi dengan umum status kawalan keselamatan tempat kerja seperti alarm, pagar, jaga, lokasi cctv dan sebagainya.)
  • Maklumat Peribadi (kategori ini juga termasuk berkongsi maklumat peribadi diri sendiri dan juga orang lain, maklumat-maklumat sepeti ini boleh memudahkan pencerobohan dalam rangkaian berlaku)
  • Maklumat Pembekalan (jangan menyebarkan maklumat sensitif seperti kos pembekalan, identiti pembekal dan maklumat-maklumat tender dan sebutharga kepada umum)
  • Pelan (pelan terperinci bangunan dan kawasan tempat kerja seharusnya dielakkan dari dikongsi untuk tatapan umum, kongsi sekadar maklumat asas sahaja)
Pelbagai lagi maklumat-maklumat yang boleh dikategorikan sebagai terperingkat namun kebanyakkannya bergantung kepada gred jawatan yang disandang, namun ianya berbeza dengan Juruteknik Komputer kerana maklumat yang dikendalikan oleh Juruteknik Komputer seringkali amat besar risikonya jika terlepas pada tangan yang tidak bertanggungjawab. Oleh itu ingatlah pesan orang-orang tua dahulu, kerana mulut badan binasa, kerana setitik nila rosak susu sebelanga, fikir sebelum berkata dan sebagainya... Allahualam.....

0 Komen:

Post a Comment

Please Don't SPAM